Seorang Wanita Maut Dalam Kemalangan Dihempap Lori Simen

EMAK MENINGGAL ANAK TERSELAMAT


KOTA BHARU: Wanita maut selepas kenderaannya dihempap sebuah lori simen yang dipercayai mengalami kerosakan brek di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Cemerlang, di sini, hari ini


 











Dalam kejadian 4.10 petang itu, mangsa, Roslina Anat Lat, 47, maut di lokasi kejadian.


Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, lori jenis Nissan yang membawa muatan simen dipandu dari arah Pengkalan Chepa menghala ke Jalan Sri Cemerlang.


"Sebaik tiba di lokasi, pemandunya menyedari brek lori gagal berfungsi dan untuk mengelak terlanggar kenderaan di hadapan, lelaki itu mengambil keputusan membelok ke kiri.


"Semasa membelok, kenderaan berat itu tiba-tiba terbalik lalu menghempap Perodua Kelisa yang berhenti di lampu isyarat laluan bertentangan.


"Akibat kemalangan itu, mangsa yang tersepit di dalam keretanya meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Mohd Suhaimi berkata, mangsa yang cedera di dada dan kaki dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.


Menurutnya, kejadian itu turut membabitkan sebuah lagi kereta iaitu jenis Honda Civic namun pemandunya tidak mengalami kecederaan.


"Kemalangan disyaki berpunca daripada kecuaian pemandu lori dalam memastikan kenderaannya selamat dikendalikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.12 petang sebelum 15 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.


"Sebaik tiba, kami dapati sebuah lori menghempap sebuah kereta dan muatan simen yang dibawa kenderaan berat itu tumpah dan memenuhi kereta yang dipandu seorang wanita.


"Operasi sedikit sukar kerana keadaan bumbung kereta yang kemek dan mangsa tersepit ditambah dengan muatan simen yang turut tumpah atas mangsa.


"Kami menggunakan peralatan jenis pemotong hidraulik serta beg udara untuk mengeluarkan mangsa dan masa yang diambil untuk operasi itu adalah selama setengah jam dengan bantuan kren," katanya.




Sumber: Harian Metro

# KasihNetword
Share on Google Plus

About MJ

0 comments:

Post a Comment