Sejak kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 tujuh tahun lalu, pelbagai kaedah yang cuba ditonjolkan oleh mereka yang mendakwa pakar mencari pesawat malang itu namun sehingga ke hari ini masih belum menampakkan sinar.
Namun begitu, baru-baru ini misteri kehilangan MH370 kembali hangat diperkatakan sehingga trending di media sosial setelah seorang jurutera aeronautik Britain mendakwa mengetahui kedudukan sebenar pesawat itu.
Media antarabangsa melaporkan, Richard Godfrey mendakwa memperoleh koordinat tepat di mana pesawat MH370 Malaysia Airlines terhempas dan jatuh ke dasar selatan Lautan Hindi yang menyuntik harapan baharu salah satu misteri besar penerbangan diselesaikan.
Beliau memberitahu telah menghabiskan lebih setahun membuat kajian dan ‘mengira’ di mana lokasi MH370 terhempas.
Godfrey mendakwa Boeing 777 itu terhempas ke Lautan Hindi 2,000 km barat Perth, Australia Barat dan kerja-kerja mencarinya sesuai dilakukan mulai tahun depan dan ditemui pada separuh kedua 2022.
“Saya telah menggunakan teknologi pengesanan baharu dalam usaha menyelesaikan misteri ini. Penggunaan sistem isyarat radio bertindak seperti ‘tripwires’ telah membantu dalam usaha mencari pesawat yang terletak 13,000 kaki di bawah permukaan lautan.
“Lokasi nahas utama adalah di kaki Broken Ridge di kawasan dengan bentuk muka bumi yang sukar di bawah air,” dakwa laporan Godfrey.
Difahamkan, beliau menggunakan sistem penjejakan baharu yang dipanggil Weak Signal Propagation Reporter (WSPR) dan menggabungkan teknologi baharu dengan data sistem komunikasi satelit dari pesawat.
Berdasarkan data daripada satelit, oseanografi, analisis drift, data prestasi daripada Boeing dan teknologi baharu ini, beliau percaya dengan penemuan terbaharu ini dan ia menunjukkan sejajar dengan satu titik tertentu iaitu di Lautan Hindi.
Penularan laporan itu turut menarik perhatian netizen Malaysia, rata-ratanya mengharapkan perkembangan positif terhadap dakwaan tersebut.
0 comments:
Post a Comment