Dato Sri Najib Dihukum Penjara 12 Tahun & Denda RM210 Juta


Najib juga mempunyai kepentingan sendiri sewaktu meluluskan dana Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) kepada SRC. Ia bukan ‘national interest’, tetapi ‘national embarrassment’. – Kata Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim

Walaupun memberikan lebih 300 alasan mengapa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak patut didapati bersalah, namun pasukan pembelaan gagal menolak sabitan dilakukan bekas Perdana Menteri itu atas penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Antara alasan dikemukakan pasukan pembelaan Najib untuk dipertimbangkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil ialah Mohd Nazlan gagal mempertimbangkan ahli perniagaan, Low Teik Jho atau Jho Low menipu dan memanipulasi akaun bank milik bekas Perdana Menteri itu.

Selain itu, Mohd Nazlan juga didakwa terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mendapati Najib mempunyai kepentingan dalam SRC International dan membuat dapatan dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib adalah dana SRC.

Bagaimanapun, Abdul Karim menegaskan tiada sebab untuk panel hakim Mahkamah Rayuan bercanggah dengan Mohd Nazlan yang juga hakim perbicaraan dalam kes Najib.

Mahkamah Rayuan pagi ini tetap mengekalkan keputusan awal Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kepada Najib.

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengekalkan sabitan bersalahnya dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau juga menyatakan sudah mengarahkan pasukan peguam belanya untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Dalam pada menegaskan kedudukannya sebagai orang Islam, Najib yang juga ahli parlimen Pekan juga sekali lagi menegaskan bahawa dia tidak bersalah seperti yang dipertuduhkan.

“Pertama saya nak nyatakan bahawa saya amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan berikutan keputusan itu.

“Saya telah minta peguam untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan segera,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Ia dibuat sejurus selepas tiga hakim Mahkamah Rayuan sepakat untuk mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Panel hakim terbabit – dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil – juga sebulat suara mengekalkan hukuman yang ditetapkan ke atas Najib.

Menurut Najib, persoalan pokok isunya itu ialah mengenai dana bernilai RM42 jua milik SRC yang dipindahkan ke peribadinya.

“Sebagai (orang) Islam saya nak nyatakan saya pernah tidak tahu, minta, arahkan sesiapa untuk pindah RM42 juta ke akaun saya,” katanya.

Semasa prosiding secara hibrid pagi ini, wajah Najib kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan Abdul Karim.

Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Sebelum ini Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati beliau bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

Mengulas kenyataan hakim bahawa apa yang berlaku itu mengaibkan negara, Najib berkata beliau juga kecewa dengan apa yang disebutkan.

“Saya sangat kecewa dengan itu,” katanya.

Belia turut menyebut sepanjang tempoh menjadi perdana menteri banyak kejayaan dilakukan untuk Malaysia termasuk aset negara yang berjumlah RM2 trilion.

“Jika anda bercakap mengenai aib negara, ada isu skandal lain seperti skandal berkaitan forex (tukaran mata wang asing) yang menyebabkan kerugian RM31 bilion.

“Bukankah itu jauh lebih besar?” katanya yang merujuk kepada isu yang melibatkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Najib, 68, masih berpeluang mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Sumber : mk sinarH SK

Share on Google Plus

About MJ

0 comments:

Post a Comment