D.S Vida - Nak pastikan subur, baru boleh kahwin

PETALING JAYA – Taikun kosmetik, Datuk Seri Vida memaklumkan, sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga buat kali ketiga dengan mana-mana lelaki, dia perlu memastikan dirinya masih subur dan mampu melahirkan anak.

Kata Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, 50, dia tidak mahu terhegeh-hegeh berkahwin andai tidak mampu melahirkan zuriat memandangkan usianya sudah semakin lanjut.

“Sebelum buat sebarang keputusan (untuk berkahwin), pertama sekali, saya kena tengok saya ini mampu melahirkan zuriat atau tidak.

“Jadi, saya akan buat ‘check up’ (pemeriksaan kesuburan) untuk memastikan saya boleh melahirkan zuriat. Selepas itu, barulah saya fikir perancangan selanjutnya sama ada untuk berkahwin atau tidak.

“Bukan apa, sekarang ini yang muda-mudi ini kalau tiada atau diikat dengan ‘zuriat’, nanti jadi susah. Kalau tanya saya, itulah yang perlu saya buat dahulu sekarang ini. Pastikan diri subur,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Terdahulu, timbul desas-desus mengatakan Vida bakal berkahwin dengan bekas pembantu peribadinya, Ahmad Iqbal Zulkefli selepas rakan baik usahawan berkenaan, Datuk Seri Aliff Syukri bertindak memuat naik video klip pendek perbualan yang mendedahkan perkara tersebut.

Vida bagaimanapun bertegas, andai punya jodoh lagi, dia hanya akan memilih bakal suami yang setaraf dengannya.

Katanya, dia akan mencari calon yang mempunyai kestabilan dari segi ekonomi dan sebaya usianya.

“Ada ke lelaki yang nak dekat saya? Tengoklah saya jenis brutal (lasak) gini (macam ini). Semua buat, takut lari saja nanti.

“Sekarang ini saya tidak terfikir pun nak kahwin ke apa, anak-anak, keluarga dan syarikat adalah keutamaan saya.

“Kalau ada jodoh sekali pun saya akan cari yang level-level (setaraf) saya. Maksudnya dari segi umur, pengalaman, kaya of course (sudah pasti),” ujarnya seraya berseloroh dalam Instagram.

Dalam pada itu, ditanya sama ada benar Iqbal bertepuk sebelah tangan, pelantun lagu I Am Me itu menafikan sambil meninggalkan emoji wajah dipenuhi bentuk hati dengan respons ringkas: “Tak kot (tertawa).

Iqbal dalam satu kenyataan kepada portal hiburan memberitahu bahawa dia sudah melakukan ujian kesuburan dan mampu memberi nafkah sebanyak RM1 juta sebulan kepada isterinya.

Untuk rekod, Vida pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali. Perkahwinan pertamanya dengan seorang lelaki bernama Mohd. Amin Yassin, 43, pada 2000 namun bercerai pada 2008.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie, Muhammad Edrie Zikree, Edlynn Zamileen dan Muhammad Eric Zaquan.

Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikree meninggal dunia dalam satu kebakaran di rumah Vida di Ipoh pada 2013.

Selain itu, Vida pernah mendirikan rumah tangga bersama Fairuz Ahmad Zainuddin pada Januari 2014 namun bercerai pada 7 April 2017. – K! ONLINE

Share on Google Plus

About MJ

0 comments:

Post a Comment