PADAH! Nadia Mustafa Akan Muflis Kalau Tak Bayar Saman?
Pelakon jelita, Lisdawati atau Lis kini sudah mampu menarik nafas lega apabila diberitahu oleh pihak peguamnya bahawa dia telah berjaya memenangi kes saman fitnah terhadap Nadia Mustafa atas dakwaan kononnya dia telah meminjam serta melarikan wang berjumlah RM15, 000 daripada aktres tersebut .
Sehubungan daripada itu, Nadia telah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar wang berjumlah RM 250, 000, bersama kadar faedah 8% setahun serta kos tindakan berjumlah RM2,354.
"Sebenarnya, Lis telah mendapat tahu kemenangan ini pada 12 Disember 2010 yang mana pada hari itu adalah hari lahir Lis. Bagaimanapun, baru sekarang Lis boleh umumkannya kerana Lis menunggu surat pengesahan sah dari pihak mahkamah.
"Lis telah memfailkan saman fitnah itu pada 29 Julai 2010 dan sepanjang tempoh itu, Nadia langsung tidak pernah membuat sebarang rayuan. Lis difahamkan oleh pihak guaman bahawa Nadia sudah pun menerima surat itu dan sudah pun menandatanganinya. Segala hukuman yang tertera disurat ini bukan ditetapkan Lis. Pihak guaman yang telah menilai dan meletakkan di situ.
"Sebelum Lis buat sidang media ini, Lis memang sudah pun terfikir dengan kata-kata orang kalau dah menang buat apa nak kecoh-kecoh lagi. Tujuan Lis hanya satu iaitu untuk menutup segala cerita buruk terhadap Lis yang pernah dibuka oleh Nadia. Selepas ini, Lis berharap segalanya berakhir dan Lis takkan komen lagi tentang kes ini," jelasnya yang tiada niat langsung untuk bermusuh dengan Nadia.
Dia yang ditemani suaminya Fauzi Nawawi telah mengadakan sidang media tergempar itu di Restoran Rebung, Bangsar, petang semalam.
Mengimbas semual bagaimana kes saman fitnah itu tercetus, Lis berkata, Nadia telah mendakwa bahawa dirinya telah meminjam wang berjumlah RM15, 000 daripada Nadia dan melarikan diri. Tambah mengaibkan lagi, Nadia juga telah menyebarkan cerita Lis sebagai seorang perempuan yang murah sehingga sanggup melacurkan diri untuk mendapatkan tawaran berlakon.
"Fitnah ini dilemparkan sekitar tahun 2003-2004. Waktu itu, orang mula kenal Lis dengan filem KL Menjerit. Disebabkan fitnah ini juga, Lis mengalami kesukaran untuk hidup sehingga kereta Lis terpaksa ditarik dan macam-macam lagi. Masa ini juga, Lis masih lagi solo dan belum berkahwin dengan Fauzi. Demi Allah, Lis tak buat apa yang difitnahkan itu.
"Fitnah itu juga membuatkan Lis cukup merana kerana dalam 6 bulan, Lis tidak mendapat sebarang kontrak atau pun tawaran untuk berlakon. Lebih teruk lagi, kontrak Lis sebagai duta produk terpaksa diberhentikan serta merta. Lis mendapat tahu fitnah ini pun selepas Lis diberitahu pihak yang mahu mengambil Lis sebagai duta produk.
"Lis bukan tahu dari mulut orang tetapi Lis dengar sendiri kata-kata yang dilemparkan Nadia kepada saya. Lis ada simpan rakaman audio tersebut. Sebab itu juga, Lis berani failkan saman selain mendapat nasihat daripada pihak guaman," katanya.
Terus meluahkan cerita, Lis juga memberitahu dia terpaksa menjalani pemeriksaan dara untuk membuktikan daranya masih belum ditebuk tupai.
"Lis sebak dan terkejut sebaik saja mendengar kes itu. Hanya kerana kata-kata dia, Lis terpaksa membuktikan kepada pihak tertentu untuk membuktikan Lis ni masih anak dara. Lis ada surat pemeriksaan tersebut.
"Lis juga buat pemeriksaan ini seminggu sebelum Lis berkahwin dengan Fauzi. Pemeriksaan ini juga untuk mengukuhkan lagi bahawa Lis ini masih dara selain untuk menyakinkan Fauzi dan keluarganya. Hanya kerana fitnah ini juga, Lis mendapati ada juga pelakon lain yang dulunya rapat dengan Lis renggang secara tiba-tiba kerana mereka telah termakan hasutan dengan mendengar cerita ini," jelasnya.
Dalam pada itu, selepas sidang media ini, Lis berharap sangat agar Nadia dapat memberikan respon dengan segera terhadap kes itu. Jika, Nadia terus mendiamkan diri, Nadia boleh diisytiharkan muflis.
"Jika mengikut tempoh, Nadia boleh diumumkan muflis jika dia tidak mengikut apa yang ditulis dalam surat penghakiman ini. Namun, Lis bukanlah seorang yang kejam. Lis minta tempoh agar diberikan masa untuk Nadia menyelesaikannya. Jadi, Lis berharap agar Nadia datang berjumpa peguam Lis untuk berbincang. Untuk berbincang dengan Lis memang sudah terlambat.
"Ini kerana Nadia sudah diberi tempoh 6 bulan untuk membuat rayuan tetapi dia langsung tidak membuat apa-apa. Lis mahu dia bertindak segera agar dia tidak menanggung kesusahan sekiranya dia bergelar muflis nanti," ujarnya
0 comments:
Post a Comment