KOTA BHARU - Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kekasihnya pada Mei lalu.
Tertuduh, Abdul Aziz Mohamed, 62, yang hadir dengan berkerusi roda bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, penganggur tersebut didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 10 bulan di dua lokasi berasingan iaitu di kawasan semak dan di sebuah rumah di Jelawat, Bachok pada Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ahmad Fariz memohon mahkamah agar tidak membenarkan Abdul Aziz diikat jamin atas alasan pertuduhan yang dihadapi tertuduh itu satu perbuatan keji selain dia mengenali mangsa.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh dijamin selain menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
0 comments:
Post a Comment