Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan 2011 kepada peniaga restoran terapung di Langkawi pada Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, notis bertulis itu perlu dijawab dalam tempoh lima hari iaitu sebelum Khamis ini bagi mengelak sebarang tindakan sekiranya pemilik restoran berkenaan gagal berbuat demikian.
"Kita beri tempoh lima hari untuk pemilik restoran menjawab beberapa perkara di dalam notis itu antaranya berkaitan kos ikan siakap, makanan dan apa-apa yang ada dijual di situ.
"Setakat ini kita masih menunggu maklum balas daripada pemilik restoran itu. Buat masa sekarang kita tidak boleh kata salah atau tidak, sebaik sahaja kita terima notis itu kita akan analisa setiap kos yang diberikan secara terperinci sama ada berlakunya kenaikan harga tidak munasabah atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, makan tengah hari sekumpulan tujuh pelancong di sebuah restoran terapung di Langkawi dikejutkan dengan harga ikan siakap yang didakwa terlalu mahal.
Berdasarkan satu resit yang dimuat naik seorang pengadu di laman sosial, ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang dipesannya berjumlah RM1,196.80.
Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan itu termasuk hidangan makanan dan minuman lain, ialah RM1,759.50 dan tular di media sosial.
Mengulas itu sama, Mohd Shahran berkata, sehingga kini hanya satu aduan berkaitan diterima pihaknya dan beliau meminta pengguna yang mengalami situasi sama terus membuat laporan kepada KPDNHEP.
"Sekarang kita sedang lancarkan Ops Menu, operasi ini bukan sahaja kita fokus kepada harga pada menu tetapi juga kepada alat timbangan sama ada alat itu masih sah atau tidak.
"Dalam masa sama kita minta aduan terus dilakukan kepada KPDNHEP untuk mudahkan penguatkuasa mendapatkan maklumat terperinci daripada pengguna itu sendiri.
"Sekiranya ditularkan dalam media sosial sahaja maka kita terpaksa mencari individu terbabit menerusi media sosial dan terpaksa menunggu jawapan daripadanya sebelum kita perolehi maklumat lanjut," katanya.
-myMetro
0 comments:
Post a Comment