KLANG – Seorang pemandu treler wanita yang tular hampir menggilis seorang penunggang motosikal yang sedang mengisi angin tayar minggu lalu didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Noor Haffizza Che Ani, 35, sebagai Orang Kena Saman (OKS) dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rashid.
Lesen memandu Noor Haffizza turut diperintahkan dilakukan pengesahan (diendorse) sebelum diserahkan semula kepadanya.
Berdasarkan pertuduhan, Noor Haffizza yang masih bujang itu didakwa memandu lori treler di atas jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Iftiqar Mohamad Amran, 29, pada pukul 8.30 pagi, 24 November lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga 12 bulan, lesen diendorse pada mana-mana lesen memandu yang dipegang mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Noor Hafiza yang tidak diwakili peguam dalam prosiding berkenaan, merayu denda yang rendah kerana menanggung ibu yang sakit terlantar.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ Ayuni Jamri bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal bagi memberikan pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Kosmo! pada 24 November lalu melaporkan seorang lelaki nyaris maut apabila dilanggar sebuah treler ketika sedang mengisi angin tayar motosikalnya di sebuah stesen minyak di Bandar Sultan Suleiman di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi, mangsa yang berusia 29 tahun berasal dari Grik, Perak itu mengalami luka di tangan serta sakit di bahagian kaki dan badan. -K!ONLINE
0 comments:
Post a Comment