Pengurus tapak projek pembinaan rog0l gadis 14 tahun di sebuah rumah


Kota Bharu: Pengurus tapak projek pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol teman wanitanya yang juga remaja bawah umur, Jumaat lalu.

Tertuduh, Syazwan Afiq Shariff, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di sini, 5 pagi 15 Oktober 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Roshayati Hassan.

Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius terhadap remaja bawah umur.

Sementara itu, Roshayati memohon supaya anak guamnya diberi ikat jamin yang rendah dan tertuduh tidak akan menggangu mangsa sekiranya diberikan jaminan.

"Keluarga tertuduh terutama bapanya memberi jaminan bahawa lelaki itu tidak akan berhubung dan mengganggu mangsa selepas ini. Bapa tertuduh yang juga seorang kontraktor sedia untuk membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah," katanya.

Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.

Share on Google Plus

About MJ

0 comments:

Post a Comment