Padah...Gadis gagal kawal nafsu lihat 'aksi romantik' beranikan diri


  

Saya berusia pertengahan 20-an dan berasal dari utara Semenanjung. Saya berkenalan dengan seorang jejaka sebaya dan berasal dari daerah yang sama.

Saya mempunyai konflik dalaman kerana jejaka itu ingin menjalani hubungan serius dan mengahwini saya tahun depan.

Sebelum ini, saya tidak pernah menjalin sebarang hubungan serius dengan mana-mana lelaki kerana hanya gadis kampung dan tidak biasa dengan persekitaran seperti gadis bandar.

Baru-baru ini, dia menyatakan hasrat untuk menemui ibu dan ayah saya. Ibu dan ayah tidak mempunyai masalah dengan hasrat jejaka itu.

Namun, dilema saya ialah abang dan kakak mempersoalkan niat jejaka itu berjumpa ibu ayah. Ini membuatkan saya agak takut dan cemas. Mereka bertanya pelbagai soalan dan saya tidak mampu menjawab soalan berkenaan.

Saya sudah membuat pendirian untuk berkahwin pada usia 27 tahun ke atas. Saya agak risau memandangkan keputusan jejaka itu yang agak pasti dengan keputusan hubungan yang serius.

Namun, adakalanya saya terfikir juga untuk mendirikan rumah tangga segera kerana saya mempunyai kawalan nafsu lemah (kadangkala melihat aksi romantik membuatkan saya teringin).

Jika berkahwin awal, saya dapat menghakis tabiat buruk itu. Kini, saya keliru sama ada meneruskan hubungan atau tidak. Dia lelaki pertama yang berani mendekati saya dan saya dapat lihat keikhlasannya.

Harap Dr dapat membantu.


Gadis Keliru
Kedah


Terima kasih kerana sudi berkongsi dilema yang dihadapi. Ia suatu luahan yang bermakna untuk dikongsi. Isu melangkah ke alam perkahwinan sering dihadapi setiap individu yang berstatus bujang. Pelbagai persoalan dan kekeliruan yang bermain difikiran menuntut kepada suatu pe­nyelesaian.

Maklumlah perkahwinan bukanlah medan untuk mencuba-cuba sebagaimana ketika bercinta, ia bukan sekadar sebuah perhubu­ngan cinta antara dua kekasih bahkan ianya lebih daripada itu.

Ia juga adalah pertautan kasih antara dua keluarga yang berlandaskan tanggungjawab dan amanah kepada agama. Dr amat menghargai kesungguhan yang ditonjolkan oleh teman lelaki saudari yang ingin berjumpa dengan ahli keluarga bagi membincangkan hasrat menikahi anda.

Suatu usaha yang harus diberi pujian. Ibu bapa saudari pula bersetuju dengan tindakannya dan bersedia menerima kunjungan. Ini suatu sifat keterbukaan yang baik yang dipamerkan oleh ibu bapa saudari.

Dr percaya, persoalan yang diajukan oleh abang dan kakak saudari bukanlah bertujuan untuk mempersoalkan keikhlasan hasrat teman lelaki saudari, sebaliknya ia mungkin bertujuan untuk memperlihatkan kesediaan saudari dan pasangan dalam berumahtangga.

Berdasarkan pengakuan anda, saudari perlukan sedikit lagi persediaan sebelum dapat meyakinkan diri sendiri sekaligus ahli keluarga.

Saudari harus membuat persediaan terhadap diri sebagai seorang isteri, menantu dan ibu. Saudari juga perlu bersedia dari sudut perancangan kewangan dan menguruskan rumah tangga. Perwatakan dan ciri-ciri pemilihan suami juga harus saudari titikberatkan.

Sebagai seorang abang dan kakak, sudah pasti mereka ingin melihat adik-adik mereka bahagia bersama seorang lelaki yang mampu membimbing saudari dan keluarga kepada kebaikan dan kebahagiaan. Keprihatinan keluarga saudari harus diberi pujian dan suatu nikmat yang harus disyukuri.

Berkaitan prinsip yang telah saudari tetapkan iaitu akan berkahwin pada umur 27 tahun, Dr melihat ianya adalah perancangan saudari sebagai seorang manusia semata-mata. Perancangan dalam hidup sangat penting, tetapi bersikap fleksibel terhadap prinsip yang ditetapkan adalah lebih baik untuk keadaan semasa saudari sekarang ini. Memandang saudari sedar bahawa saudari mempunyai kesukaran dalam mengawal nafsu, saudari juga akan mudah terangsang apabila melihat adegan-adegan romantik dan terasa ingin mencuba, niat untuk berkahwin dapat menyelamatkan saudari daripada kemaksiatan.

Mempercepatkan perkara yang baik atau halal adalah sesuatu yang dituntut dalam agama, namun tidak bermaksud saudari harus bersikap terburu-buru dalam membuat keputusan. Perkahwinan bukanlah perlambangan untuk melampiaskan nafsu semata-mata, sebaliknya ianya satu ikatan yang suci yang didasari rasa tanggungjawab pasangan terhadap amanah yang diberikan oleh Allah.

Setelah saudari yakin dengan keputusan sendiri, sedar akan tujuan dan tuntutan perkahwinan, punyai perancangan yang baik dalam berumahtangga, yakin dengan pasangan yang dipilih, maka, bulatkan hati dan lakukanlah perbincangan semula dengan keluarga dari hati ke hati.

Keputusan ini haruslah datang daripada saudari hasil istikharah dan kewajaran dalam pertimbangan. Dr harap saudari jelas dengan pandangan dan cadangan yang diutarakan dan membantu saudari dalam membuat keputusan. 
Share on Google Plus

About MJ

0 comments:

Post a Comment